Wah Cantiknya Candelier itu…!
Candelier yang dipasang itu bukan sahaja menyeri ruang malah membantu dari segi pencahayaan tambahan. Maka tidak hairanlah jika candelier bertingkat-tingkat diguna di kebanyakan ruang legar hotel, dengan tujuan supaya suasana dalaman hotel nampak gah. Syarikat lampu tersohor, Fancy Lighting menawarkan pelbagai rekaan candelier eksklusif bertemakan kemewahan yang menepati apa juga gaya hiasan dan khayalan tuan rumah. Fancy Lighting yang sudah bertapak sejak 1995 beroperasi menerusi lapan cawangannya di seluruh Semenanjung. Bagi mereka yang baru berpindah rumah atau ingin mengubah suasana kediaman supaya nampak berbeza pada tahun baru ini, Fancy Lighting menyediakan lebih banyak pilihan dalam aneka bentuk dan menggunakan bahan kemasan bermutu tinggi. Bahkan jika inginkan kelainan, mereka bersedia menerima tempahan mengikut rekaan yang diinginkan pengguna.
Tidak dinafikan, candelier cantik dipandang namun agak rumit untuk dibersihkan terutama jika terlalu banyak lekuk dan juraian. Justeru itu bagi mereka yang berwang, sebaik-baiknya guna khidmat pakar bertauliah (sama ada pakar lampu atau tukang cuci). Bagaimanapun, disebabkan bayaran bagi perkhidmatan pakar lazimnya agak tinggi maka itu bukan bermakna candelier yang anda beli itu tidak perlu dibersihkan langsung! Anda sebenarnya boleh melakukan sendiri kerja-kerja membersihkan candelier asal sahaja tidak berasa gayat dan yang penting, sentiasa berhati-hati. Sebelum memulakan kerja pembersihan, semak dahulu buku panduan atau laman sesawang daripada pengeluar mengenai kaedah terbaik membersihkan candelier keluaran mereka. Sesetengah orang menggunakan cuka sebagai pengganti bahan pencuci, tetapi kaedah itu tidak digalakkan jika candelier menggunakan logam dan tembaga sebagai perkakasan atau pengikat. Begitu juga semburan hanya membersihkan candelier daripada habuk dan mengilatkan permukaan kristal, tetapi tidak menghilangkan debu yang tebal dan sawang lelabah.
Oleh itu disarankan supaya dibersihkan sawang lelabah terlebih dahulu dan kemudian barulah mengelap butiran kristal untuk membuang habuk, terutama kalau bertahun- tahun tidak dibersihkan. Jika menanggalkan satu persatu butiran kristal, pastikan dipasang kristal yang di bahagian dalam dahulu.
