• Sanggar
  • Seri Ruang
  • Sentuhan Peribadi
  • Alam Reka
  • Sudut Kerja
  • Warnai 2010


Latest Issue:

Di Tengah-tengah Rimba Dusun

sp-natrah.indd

Kami dibawa berkunjung ke situ oleh pengurus sebuah syarikat rekaan dalaman, Tengku Chik Muda Tengku Abd Jalil yang baru sahaja selesai membuat pengubahsuaian ke atas rumah berkenaan. “Kalau nak tulis cerita mengenai rumah ini, guna saja nama Natrah Abdullah,” ujar lelaki berkenaan, sambil menambah beliau lebih gemar bercakap mengenai pokok-pokok di halaman.

Sungai Buluh, Selangor mengingatkan saya kepada suasana kampung sekitar tahun 60-an bila mana kebanyakan rumah dibina di dalam rimba dusun dan hanya jalan kecil, yang tidak boleh dilalui kenderaan, disediakan sementelah ketika itu memang tidak ramai memiliki kereta. Namun bagi rumah Natrah, walaupun terletak jauh dari jalan besar, kenderaan masih boleh sampai ke halamannya kerana disediakan jalan yang bersesuaian. Sudah tentulah yang istimewa di sini ialah keadaan persekitaran yang nyaman walaupun matahari berada di atas ubun-ubun. Ini kerana daun pokok rendang dan bercantum antara satu sama lain umpama payung yang meredup dan menyamankan suasana. Kami difahamkan, sesetengah pokok hutan dan buah-buahan di situ tumbuh sejak sebelum mereka berpindah masuk dan sesetengahnya ditanam sendiri dalam keadaan sudah agak besar. “Walaupun sudah besar dan tinggi menjulang, pokok yang kami tanam perlu kerap disiram kerana akar pokok besar tidak cukup panjang untuk menyerap air. Banyak juga kami berbelanja untuk mewujudkan suasana berhutan macam ini,” katanya.

Beliau mengakui sukakan persekitaran alam semula jadi walaupun dirinya berjiwa moden. “Sejak bersara saya tidak lagi perlu meredah kesesakan lalu lintas untuk ke pejabat, sebaliknya kerja saya setiap hari sekarang ialah menjaga kebun. Cuma Natrah masih berulang-alik ke tempat kerja,” ujarnya. Natrah yang pernah menjadi selebriti televisyen sudah lali dengan keadaan rumah yang diulit kedamaian dan ketenangan. Pagi hari beliau akan keluar bekerja melintasi kawasan yang redup dan sunyi untuk mencari rezeki di kota dan pulang ke rumah dusunnya menjelang petang. Mempunyai anak-anak yang sudah berkeluarga dan tinggal di rumah masing-masing maka tidak terasa keriuhan, kecuali pada hari tertentu khususnya hujung minggu apabila mereka atau saudara mara bertandang.

 

| Jelita | Anjung Seri | Malaysian Business 1 / 2 | Madam Chair

Berita Publishing .Com© 2008 | All Rights Reserved