Siapa Mata Si Buta
Peminta sedekah di kalangan orang buta semakin berleluasan. Malah keadaan ini bukanlah fenomena g baru di negara kita, seperti tiada langsung sekatan dan pemantauan dibuat untuk membendungnya. Persoalannya sampai bila masalah ini harus dibiarkan berlarutan dan adakah si buta ini dengan rela hati membiarkan dirinya dipergunakan atau dipaksa individu yang tidak bertanggungjawab demi kesenangan peribadi. Tinjauan Jelita dibeberapa buah tempat di sekitar ibu kota mendapati kehadiran golongan ini ada di mana-mana, terutama sekitar gerai dan kedai makan. Mereka mungkin daripada kumpulan (sindiket) yang sama dan berpecah mengikut kawasan ditetapkan. Ketika mengekori golongan ini kedengaran di telinga kami, mereka berbisik antara satu sama lain. “Kedai makan dekat hujung sana tak usah pergi, tak ramai orang beri duit.” Kata-kata itu diungkapkan si celik kepada sekutunya yang menunggu giliran untuk masuk ke tempat sama. Apa yang menyedihkan apabila melihat si buta ini ditarik ke sana sini tanpa memikirkan keadaannya yang kelihatan keletihan. Tinjauan kami di sekitar Kampung Baru misalnya, kami mendapati mereka memulakan kegiatan ‘menjual tisu’ di seluruh kedai makan yang ada di situ. Kemudian meneruskannya ke Pasar Chow Kit dan masuk ke Jalan Raja Laut.
Bayangkan betapa jauhnya si buta itu berjalan, apatah lagi si buta ini adalah warga emas yang kudratnya tidak sekuat mana. Raut keletihan jelas terpancar pada wajah si buta ketika menjelang tengah malam. Jauhnya dia melangkah tanpa diberi kesempatan berehat atau minum. Sedih dan kasihan menyelubungi hati kami ketika mengekori mereka. Kami yang masih muda dan bertenaga ini pun sudah berasa letih dan lenguh kaki, apatah lagi mereka! Jam menunjukkan pukul 1 pagi, namun kegiatan mereka belum selesai. Langkah si buta semakin lemah namun dia terus diheret untuk meminta sedekah daripada pengunjung kedai. Hati mula bertanya, sejauh mana lagi dia perlu berjalan? Tidak kasihankah si celik itu kepada si buta yang diheret ke sana sini?
Apa yang kami jangkakan mengenai kegiatan mempergunakan golongan orang kurang upaya (OKU) ini ternyata benar. Ketika asyik mengekori dan memehatikan gelagat mereka, kami melihat sendiri ada individu yang mengawal pergerakan mereka. Malah, kami hampir terdedah dengan bahaya apabila intipan kami berjaya dikesan ketika mendekati pasangan itu menuju ke arah sebuah kereta yang berada di sebatang jalan gelap dan sunyi. Di dalam kenderaan itu ada seorang lelaki berusia lewat 20-an menunggu. Kami sempat menjenguk ke dalam kenderaan itu ternyata di tempat duduk belakang penuh dengan bungkusan plastik dipercayai tisu. Daripada sumber, kenderaan itu milik seorang lelaki Melayu berusia lewat 20 an. Daripada alamatnya dia menetap di sekitar Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Esoknya kami meninjau alamat yang diperolehi, sayang tidak bertemu.








