Mencapai impian selepas
bergelar Gadis Jelita
Shaznida akui dia agak gementar sewaktu
dimaklumkan digandingkan dengan Irma untuk
menghiasi kulit hadapan Jelita kerana berasa
dirinya tidak setanding Irma yang sudah
mencipta nama sebagai pelakon.
Timbul rasa takut dalam hatinya, gusar
kalau pada waktu penggambaran dia
kekok memberikan aksi bersahaja dan
terbaik bersama Irma. Namun, perasaan
gementarnya hilang saat mula disapa
Irma.
“Saya kagum melihat wajah cantik Irma. Gelagat Irma sepanjang sesi penggambaran benar-banar mencuit hati. Walaupun dia pelakon popular, dia tidak sombong dan sikapnya yang mudah mesra dan peramah menghilangkan rasa kekok saya bergambar dengannya.”
Shaznida mula mengenali Irma sewaktu melihat kemunculannya di dalam rancangan Roda Impian bersama Allahyarham Hani Mohsin. Lama-kelamaan Shaznida lebih kerap melihat Irma berlakon. Antara drama dan filem lakonan Irma yang Shaznida tontoni ialah Bella dan filem Cinta Fotokopi.
“Lakonan Irma bagus dan saya pasti bakat lakonannya boleh dikembangkan lagi. Saya doakan Irma terus berjaya di dalam apa-apa jua bidang yang diceburi terutama lakonan. Saya juga berharap Irma terus berusaha memperbaiki mutu lakonan sehingga berjaya memasuki kelompok barisan pelakon tempatan yang berbakat besar.”







