Perlu Pembedahan Pembetulan
Bagi yang mempunyai wajah sempurna, kita jarang mengambil tahu kaitan fungsi muka, mulut, mata, pipi, tulang, rahang, kening, dahi dan sebagainya. Berlainan sekiranya mempunyai kecacatan sama ada sejak lahir atau kerana kemalangan, setiap satu yang disebut tadi amat bermakna. Pertemuan Jelita dengan Profesor Dr Zainal Ariff Abdul Rahman, Ketua Jabatan, Jabatan Pembedahan Mulut dan Maksilofasial, Universiti Malaya Kuala Lumpur membuatkan penulis lebih memahami dan menyedari kewujudan serta keperluan pembedahan pembetulan. “Pembedahan pembetulan (corrective surgery) dan pembedahan kosmetik (cosmetic surgery) sering disamakan walhal kedua-duanya mempunyai definasi yang sangat berbeza. Pembedahan pembetulan adalah untuk memperbetulkan sebarang gangguan pada anggota tubuh, bidang saya ialah muka. Pembedahan kosmetik pula untuk meningkatkan kecantikan wajah seseorang, mengikut persepsi masingmasing kerana kecantikan tidak sama nilainya pada pandangan setiap orang.” Tambah Profesor Zainal, fungsi muka yang terjejas akibat kecacatan sejak lahir atau terjadi kerana kemalangan boleh memberi kesan gangguan kepada proses menelan dan bercakap. Kecacatan bentuk muka pula (bentuk yang tidak harmoni) seperti rahang, pipi dan hidung memberi kesan kepada fungsi mengunyah.
Pembedahan pembetulan juga sangat disaran untuk mereka yang mendapati keadaan itu mengganggu penampilan, keyakinan diri dan juga emosi. “Dengan memperbetul gangguan pada wajah akan meningkatkan keyakinan diri dalam pergaulan selain untuk mencari rezeki menyara kehidupan. Setiap kali berhadapan dengan pesakit, saya menggariskan dua perkara, satu apa yang pesakit mahu dan kedua, apa sebenarnya mereka perlukan. Sebagai pakar bedah kami mementingkan apa yang pesakit perlu. Jadi titik tengah akan dicari. Tidak semua apa yang kita mahu boleh direalisasikan. Ilmu sains yang kita ada tentu saja tidak sesempurna ciptaan Allah. Ada hadnya. Contohnya pengalaman kami berdepan dengan pesakit yang separuh daripada mukanya remuk jadi untuk memperbaikinya menjadi sempurna seperti sediakala tentu saja mustahil. Ini sering terjadi kepada kes-kes kemalangan teruk dan kebakaran. Dengan kepakaran yang ada, kita akan memperbaiki sebaik mungkin supaya hasilnya dia lebih selesa dalam pergaulannya dengan masyarakat dan meneruskan kehidupan selepas itu.”








