KEBAHAGIAAN jelas terpancar pada
wajahnya ketika pertemuan untuk sesi
penggambaran kulit hadapan Jelita ini.
Maklumlah masih pengantin baru dan
dalam alam bulan madu lagi. Sambil
disolek Emma, kedengaran Maya
Karin bernyanyi-nyanyi lembut.
Menggambarkan kebahagiaan
dalam genggamannya selepas
berkahwin dengan Muhammad
Ali Abdullah (Steven
Shorthose), 38, pada 14 Ogos
2008 di Tasik Como, Itali.
Jelita doakan agar kebahagiaan bersama
suami tercinta berkekalan sehingga ke
akhir hayat. Itulah juga impian Maya
yang mengharapkan rumah tangga yang
dibina atas dasar cinta itu berkekalan
sehingga hujung usia.
Maya juga baru selesai menjalani penggambaran TVC (iklan televisyen) L’Oréal Paris Elsève Damage Care yang bukan sahaja ditayangkan di Malaysia tetapi juga Indonesia dan Thailand. Suatu yang membanggakan kerana itu adalah kali pertama wajah duta L’Oréal Paris dari Malaysia digunakan untuk iklan siaran luar negara. Tahniah diucapkan kepada Maya yang semakin bersinar kerjaya seninya dalam meniti alam rumah tangga.
“Setiap orang yang berkahwin pasti mahukan perkahwinan kekal bahagia sepanjang hayat. Begitulah juga saya dan suami. Kami berkahwin selepas tujuh tahun berkenalan. Satu masa yang lama untuk saling mengenali dan menyelami hati budi masingmasing,” ujar Maya. Menurut Maya, Ali mengajar di Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Seri Kembangan suka berjenaka dan bersederhana dalam semua perkara. Suaminya juga antara penyokong utamanya mencipta nama dalam dunia seni tanah air. Ramai yang tidak tahu kenyataan ini. Perkenalan mereka bermula ketika mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian dan lakonan. Ali banyak memberi perangsang kepadanya dan tidak pernah jemu untuk memberi komen mengenai kerjaya seni Maya. “Itulah antara sikapnya yang saya kagumi. Dia tidak takut berterus terang demi mahu menjaga hati saya. Jika dia berpendapat lakonan saya tidak berapa bagus, dia pasti beritahu. Jadi selain keluarga terdekat, dengan dia saya dapat kritikan yang jujur.”







