Nabil Teruja Sambut Raya
"Tahun ini, kali pertama
saya beraya sebagai artis.
Banyak bezanya dengan raya
sebelum ini. Mungkin raya tahun
ini, saya perlu sediakan kuihmuih
lebih banyak di rumah untuk
peminat yang datang bertandang
dan kena sediakan duit raya,"
kata Nabil.Katanya raya tahun ini paling istimewa kerana dia sambut dengan kerjaya baru dan bersama peminat. Bercerita mengenai raya, kata Nabil dia hanya menempah sepasang baju melayu dan lainnya ditaja Butik Den Wahab. Dia juga bangga kerana tahun ini kali petama dia menyediakan kelengkapan raya untuk keluarganya.
“Seperti tahun sebelumnya juga, saya menyambut raya di Seremban bersama keluarga. Walaupun kampung tidaklah jauh sangat, rasa teruja nak pulang ke kampung beraya tetap ada. Mungkin malam raya baru saya bertolak ke Seremban selepas menjayakan program raya. Saya banyak menyertai program daripada Astro hinggalah ke RTM 1. Semuanya saya sapu bersih,” kata Nabil sambil tergelak.
Sebagai menghargai sokongan peminat, dia bercadang mengadakan rumah terbuka di Seremban. Ini tanda terima kasih kepada peminat yang banyak menyokongnya daripada program Raja Lawak hinggalah kini bergelar artis. “Saya paling suka makan kuih London Almond. Sama ada yang ibu buat sendiri ataupun ditempah, semuanya saya makan. Saya bukanlah cerewet sangat fasal makanan. Kalau peminat hendak beri saya kuih raya, berilah London Almond. Mungkin raya kali ini saya akan beli London Almond lebih banyak,” katanya berseleoroh.
Untuk meraikan Syawal ini, Nabil bercuti daripada kegiatan seni seminggu. Katanya dia mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
Mila raya sakan tempah 17 pasang baju
Tidak sukar membuat temujanji dengan juara Akademi Fantasia 5 (AF5) ini,
Noorsyarmila Jirin atau Mila kerana dia mudah bekerjasama. Untuk kelainan
dan sesuai konsep Syawal, I-Remaja mengadakan penggambaran di Bora
Asmara yang terletak di Sungai Penchala, Selangor. Mila datang berseorangan
memandu kereta Vios yang dimenanginya.Wajah polos tanpa solekan Mila
seperti kanak-kanak berusia 12 tahun. Manakan tidak dia hanya berketinggian
148 cm, dengan berat 37 kg. Dek kerana kecomelannya memang susah mahu
mencari pakaian sesuai tambah pula untuk edisi Syawal, justeru I-Remaja
memintanya membawa dua pasang pakaian sendiri.Menurut Mila ini tahun kedua dia beraya sebagai artis. Ternyata Mila sangat teruja dapat berhari raya di kampung Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Menariknya sepanjang 20 tahun ini pertama kali Mila pulang ke kampung bersama keluarga.
Bercerita persiapan raya menurut Mila dia sudah menempah 17 pasang baju kurung dan kebaya yang dipakai untuk program hari raya dan penggambaran majalah. Dua pasang untuk hari raya pertama dan kedua.
“Saya senang menyediakan pakaian sendiri. Setakat ini, sudah 17 baju kurung dan kebaya saya sediakan untuk kegunaan ketika menghadiri rakaman program hari raya dan majlis berbuka puasa. Saya perlu ambil inisiatif sendiri untuk mudahkan kerja. Saya tidak boleh terlalu bergantung pada pakaian ditaja saja. Ini kerana, ada kalanya saiz diperoleh sangat besar. Kalau hanya menjayakan rakaman program, mungkin boleh disepit atau dipin dengan jarum, tetapi bagi majlis berbuka, orang mesti nampak. Bagaimanapun, untuk Aidilfitri nanti saya sudah siapkan dua pasang. Tetapi, tengoklah pada keadaan, kalau perlu mungkin kena beli lagi,” katanya yang bercuti empat hari di kampung.
Menurut Mila dia tidak membuat persiapan tergesa-gesa, justeru selepas cuti tahun baru dia membawa keluarga ke Nilai dan membeli baju di sana. Semua baju untuk mak, ayah dan adik-adik sudah disediakan lebih awal.

